Khamis, 15 April 2010

LAGI DERA HINGGA MATI



Akhbar Harian Metro 15 April 2010 menyiarkan berita seorang kanak-kanak berbangsa Cina mati didera. Anak yang begitu comel, yang tidak berdosa sekali lagi menjadi mangsa kerakusan manusia yang bergelar ibu dan bapa. Tidak kiralah ibu bapa kandung, ibu bapa tiri, ibu bapa angkat, hakikatnya bila bergelar ibu bapa kandung, tiri, angkat adalah bertanggungjawab menjaga anak tanpa mengira anak kandung, tiri mahu pun angkat.

Terkilan juga apabila mendengar kenyataan jirannya yang mendengar suara kanak-kanak menangis saban malam dengan suara tangisan seolah-olah sedang kesakitan, seolah-olah sedang dipukul, tetapi tiada usaha menyelidiki apa yang berlaku.

Tetapi tidak boleh menyalahkan jiran tersebut kerana bukan budaya rakyat Malaysia mengambil tahu apa yang berlaku pada orang sebelah rumah.(???????) Kenal jiran sebelah tetapi tidak boleh ambil tahu apa yang dibuat oleh jiran, takut dikata menjaga tepi kain orang.

Tidak seperti di luar negara, kalau jiran membuat bising, terdengar bunyi bising di rumah sebelah, terus menelefon pihak berkuasa. Bunyi binatang peliharaan yang buat bising pun boleh dilaporkan ke pihak berkuasa. Di sini perkara sebegini jarang berlaku. Mungkin untuk menjaga hati jiran, menjaga keharmonian kejiranan maka bunyi bising atau apa-apa yang tidak selesa didengar atau dilihat, tidak diambil tindakan sewajarnya.

Sewajarnya, sikap tidak menghiraukan ini (dalam sesetengah perkara) perlu diubah. Mengambil contoh berita kematian adik Lee Swee Hui ini, masyarakat perlu berubah. Jika mendengar mahupun melihat sesuatu yang mencurigakan, walaupun mungkin maklumat tidak sahih tetapi merasakan sesuatu yang tidak selok sedang berlaku, rasanya tidak salah untuk melaporkan ke pihak berkuasa. Dan pihak berkuasa pula jangan mengambil sikap tidak endah dengan laporan yang seolah-olah seperti 'khabar angin' ini.

Jika sipengadu menampilkan dirinya dengan jelas, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laporan itu. Identiti pengadu perlu dirahsiakan. Jika hasil siasatan tidak menepati seperti yang dilaporkan, pihak berkuasa pula janganlah terlalu cepat membuat kesimpulan menuduh sipengadu tadi membuat laporan palsu atau cuba menganiayai jiran.

Akhirnya, jika semua pihak prihatin, Insyaallah boleh membantu mengurangkan penderitaan mangsa dera ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan