Rabu, 12 Mei 2010

ISU REMAJA DITEMBAK POLIS.... mesej kepada pelajar@remaja....

Mutakhir ini di dada akhbar antara isu yang utama adalah tindakan pihak polis yang menembak dua remaja, seorang maut manakala seorang lagi cedera parah (sila klik ini dan ini). Jika dilihat daripada sudut emosi, memang berasa sedih di atas nasib yang dialami oleh kedua remaja tersebut, terutama keluarga mereka, terutama kepada keluarga mangsa yang maut akibat ditembak polis. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah perasaan empati kepada keluarga remaja yang maut itu.

Isu ini boleh menjadi satu topik yang menarik untuk dibincangkan oleh guru dan pelajar dalam kelas atau pun boleh dimesejkan kepada semua pelajar kita terutama kepada pelajar sekolah menengah dalam perhimpunan sekolah. Isu begini perlu diberi peluang kepada pelajar kita untuk meluahkan pandangan dan pendapat mereka. Daripada pendapat dan pandangan pelajar itu, kita boleh membuat penilaian dan daripada penilaian, kita (guru)perlu menanamkan mesej tentang perlunya mematuhi undang-undang.

Kalau didalami berkaitan insiden kedua remaja malang ini, pokok pangkalnya adalah bermula dengan pelanggaran undang-undang oleh kedua remaja tersebut. Remaja yang mati ditembak itu memandu tanpa lesen dan dibawah umur. Manakala remaja yang kedua melarikan diri daripada pihak polis. Dan biasanya jika bila nampak polis dan lari maknanya remaja tersebut tentu telah melakukan satu pelanggaran undang-undang menyebabkan dia takut berhadapan dengan polis. Jika kedua-duanya tidak melanggar undang kemungkinan insiden sebegini tidak akan berlaku.

Walau apa pun cara penyampaian mesej berkaitan isu ini kepada pelajar, seharusnya janganlah sampai menimbulkan prasangka negatif pelajar kita kepada pihak polis. Penegasannya adalah undang-undang perlu dipatuhi.

Catatan: Apa yang tertera di sini adalah pandangan peribadi admin blog ini dan tiada kena-mengena dengan jabatan tempat bertugas.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan