Rabu, 9 Jun 2010

Graduan UiTM Dipenjara.... PERANAN GURU DI SEKOLAH .........


Graduan UiTMN Dipenjara .... PERANAN GURU
Dalam usaha mengekang permasalahan sosial khususnya seks luar nikah.


8 Jun 2010 di dada akhbar arus perdana menyiarkan berita tentang seorang bekas graduan UiTM, yang merupakan seorang wanita dihukum penjara kerana kesalahan membuang mayat bayi yang dilahirkannya di tempat pembuangan sampah.

Kalau kita menyoroti berita berkisahkan pembuangan bayi ini, kalau boleh dibuat kesimpulan ialah penanggungnya, pemikul bebannya adalah wanita. Amat jarang kita baca, pasangan lelaki yang sama-sama memperoleh nikmat itu turut tertangkap dan dihukum. Cuma baru-baru ini di Melaka sepasang remaja lelaki dan perempuan ditangkap kerana menanam mayat bayi mereka yang baru dilahirkan.

PERANAN GURU berkaitan berita seperti tajuk di atas? Kalau dalam Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), salah satu aktiviti paling mudah dilaksanakan ialah menyampaikan mesej PPDa di perhimpunan pagi. Jadi, berita pembuangan bayi ini, ia boleh dijadikan satu isu untuk sentiasa diperingatkan kepada semua pelajar, khususnya kepada pelajar perempuan. Tidak kira di perhimpunan pagi atau pun di dalam kelas dan tidak kira juga sama ada diperingkat menengah mahu pun rendah.

Setiap kali ada berita berkaitan pembuangan bayi, berita itu perlu dibacakan sama ada oleh guru ataupun pelajar. Kupaskan isu itu untuk pengetahuan pelajar kita. Ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran, keinsafan, simpati, empati dalam diri pelajar kita. Kesedaran dan keinsafan terutama untuk pelajar-pelajar dengan harapan mereka berupaya mengelakkan diri daripada melakukan perzinaan.

Manakala simpati dan empati pula bertujuan untuk mereka merasai keazaban seorang bayi yang dilahirkan dan dibuang begitu sahaja. Ada yang mati ketika dilahirkan, ada yang mati kerana dilemaskan, ada yang mati kerana terperosok dalam lubang tandas, ada dicampak keluar dari kereta. Bila pelajar berupaya mereka meletakkan diri mereka sebagai bayi yang dibuang atau dibunuh itu, harapannya adalah agar mereka sedar, insaf bahawa perbuatan itu adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan dan berusaha menjauhinya.

Walaupun berita yang dibacakan itu mungkin telah dibaca oleh pelajar tetapi adalah perlu untuk dibacakan semula kepada mereka (pelajar). Kadangkala mereka membaca hanya sekadar membaca dan tidak berusaha mengambil ikhtibar daripada berita yang dibaca. Kadangkala remaja hanya gemar membelek ruangan hiburan sahaja dan mengabaikan berita-berita semasa lain.

Yang lebih penting ialah bila isu itu dikupas oleh guru, ia mungkin dapat memberi impak yang lebih untuk menimbulkan kesedaran, keinsafan, simpati dan empati seperti yang dinyatakan tadi.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan