Isnin, 29 Mac 2010

ADA NILAI DALAM BERITA INI... sila klik...



Berita yang dipaparkan ini belum tentu benar seluruhnya, tetapi ada nilai yang boleh diambil ikhtibar....

Sabtu, 27 Mac 2010

MARILAH KITA BERDOA AGAR GEJALA BUANG ANAK TIDAK BERULANG LAGI


Ya Allah, segala puji bagi Allah, Tuhan sekelian alam. Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Tuhan pentadbir seluruh alam. Selawat dan salam ke atas Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga serta sahabat baginda sekalian.

Ya Allah, kami bermohon agar mereka-mereka yang mengandungkan anak hasil perzinaan dibukakan pintu hati mereka, ditenangkan fikiran mereka agar tidak membuang anak-anak mereka dalam apa jua keadaan pun. Ya Allah terbitkanlah rasa kasih sayang pada anak yang dikandung dan berikanlah kepada mereka rasa keinsafan, penyesalan dan bertaubat di atas dosa yang telah berlaku. Cukuplah dengan dosa zina itu dan jangan ditambahkan lagi dengan dosa membunuh, membuang anak yang dikandung itu.

Ya Allah, Kau bukakanlah jua pintu hati kami sebagai ahli masyarakat agar dapat membantu mereka-mereka yang terlanjur ini kembali ke pangkal jalan. Kau bukakanlah pintu hati ahli keluarga untuk menerima anak-anak mereka yang telah terlanjur ini untuk dibimbing supaya tidak lagi hilang arah panduan hidup mereka.

Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami perkara yang benar itu adalah benar dan pandulah kami supaya mengikutinya, dan tunjukkanlah kami perkara yang batil itu adalah batil supaya kami meninggalkannya.

Semoga Allah mencucuri rahmat dan sejahtera ke atas penghulu kami Nabi Muhammad s.a.w serta ahli keluarga dan sahabat-sahabat baginda sekelian. Amin....

Jumaat, 26 Mac 2010

PELANCARAN SAMBUTAN MINGGU ANTIDADAH PERINGKAT SEKOLAH SEMPENA HARI ANTI DADAH PERINGKAT KEBANGSAAN 2010




Sambutan minggu antidadah peringkat sekolah sedang rancak dilaksanakan di sekolah-sekolah. Pada 22 Mac 2010 saya ke SMK Selendang untuk pelancaran minggu antidadah peringkat sekolah tersebut. Manakala 26 Mac 2010, saya ke SK Kedaik bagi majlis penutup minggu antidadah di sekolah tersebut. Terima kasih kerana mengundang saya.

Di sekolah lain saya percaya program ini telah, sedang dan akan dilaksanakan. Walaupun kita diberi tempoh sehingga 31 Mac ini untuk melaksanakannya oleh JPN tetapi jika terlanjur dilaksanakan pada bulan April, tak mengapalah. Nak buat macam manakan, sebab saya percaya sekolah-sekolah sebelum ini sibuk dengan peperiksaan, cuti sekolah, serta lain-lain hal menyebabkan program minggu PPDa ini terpaksa ditangguhkan. Cuma jangan tak buat langsung udah lee. Yang penting laporannya pak.... ikut format yang JPN bagi (ruj. surat JPNP 19/01/001/Jld.3(82) bertarikh 4 Februari 2010.

Di SK Kedaik, apa yang menariknya ialah saya diberitahu siap ada perarakan keliling kampung oleh murid-murid Tahap 2. Tahniah. Membawa sepanduk, mengedarkan brosur kepada penduduk kampung RPS Kedaik dan sambutan masyarakat amat menggalakkan. Tahniah kepada guru-gurunya terutama guru PPDa. Majlis penutupnya juga menarik dengan adanya persembahan koir. Murid di sini amat berbakat dalam nyanyian.

Kepada sekolah-sekolah lain juga tahniah dan terima kasih kerana apa yang kita laksanakan adalah dalam usaha kita untuk mencapat matlamat SEKOLAH BEBAS DADAH 2012 dan NEGARA BEBAS DADAH 2015. Semoga Allat makbulkan.

CUMA ADALAH HARAPAN supaya adalah penyaluran maklumat bahaya dadah (termasuk rokok, inhalan, arak dan HIV Aids) janganlah terhenti dengan tertutupnya minggu antidadah. Penyaluran maklumat PPDa ini bukanlah program 'one-off' tetapi ia adalah program berterusan sepanjang tahun.

Penyampaian maklumat melalui aktivti mesej antidadah di perhimpunan pagi, PROSIDAR (Program Sifar Dadah Seklah Rendah), melalui Skim Lencana Anti Dadah (sekolah menengah sahaja) dan lain-lain aktiviti seperti dalam buku Panduan Pelaksanaan Pendidikan Pencegahan Dadah Di Sekolah hendaklah secara berterusan.Pendek kata, program PPDa ini adalah merentasi kurikulum dan kokurikulum.

Walaupun jeritan pendek, ringkas, padat seperti ..."KAMI BENCI DADAH!".... "KAMI BENCI ROKOK"... "BEBASKAN KAMI DARI ASAP ROKOK"... "CIKGU TOLONG JANGAN AJAR KAMI MEROKOK"...... (maaf yer) itupun sudah dianggap satu penyaluran maklumat PPDa. Walaupun pendek, ringkas, padat,.... yang penting juga tolong dicatatkan (dokumentasi la tuh...) sebab itu kehendak sewaktu ini.

SEKALI lagi, terima kasih, terima kasih, terima kasih kepada semua guru dan murid yang menjayakan minggu antidadah pada tahun ini...... Wassalam...............




Khamis, 25 Mac 2010

PENDERAAN KANAK-KANAK LAGI.. apa yang perlu kita lakukan


Sepanjang Mac ini, beberapa berita penderaan kanak-kanak dipaparkan di media. Sahabat-sahabat guru... dalam konteks kita sebagai guru, apakah yang perlu kita lakukan. Apakah yang perlu kita buat untuk mengekang permasalahan sosial ini?

Jumaat, 5 Mac 2010

PENDERAAN KANAK-KANAK (Peranan Guru / Guru PPDa)


Mutakhir ini, kisah penderaan kanak-kanak hingga menyebabkan kematian mendepani dada akhbar arus perdana. Bermula dengan tragisnya kematian adik Syafiah Humairah (3 tahun) dan terkini adik K Haresvarren (18 bulan) pula menyusul. Jadi, untuk meladeni permasalah tersebut, apakah peranan kita sebagai ahli masyarakat?

Dalam ruang lingkup yang lebih kecil menjurus kepada peranan guru khususnya guru Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa) di sekolah, apakah peranan kita untuk menyedarkan murid-murid kita berkaitan peristiwa penderaan tersebut.

Kepada pembaca blog ini (jika ada), terutama kaum guru, terutama guru PPDa inilah antara tajuk-tajuk semasa yang boleh digunakan dalam menyampaikan mesej anti dadah. Kalau dikaitkan dengan derita Syafiah Humairah, binatang yang pembunuhnya positif dadah. Kalau dikaitkan siksanya K Harevarren, binatang pembunuhnya ketagih arak.

Isu penderaan ini boleh dikaitkan dengan memberi kesedaran kepada murid tentang pentingnya hidup bermasyarakat. Kalau ada terlihat penderaan, pencabulan, penyalahgunaan dadah, laporkan kepada yang boleh membantu. Kalau murid, jika tidak berani lapor kepada pihak berkuasa, boleh laporkan pada guru. Kalau murid sendiri didera, dicabul, oleh sesiapa sahaja, mereka boleh laporkan kepada guru. Dan guru pula setelah menerima laporan, kena bertindak dengan bijak. Kita kena mengajar murid bagaimana untuk menyampaikan maklumat, bagaimana untuk mempertahankan diri, bagaimana hendak melepaskan diri daripada penderaan, pencabulan dan lain-lain unsur negatif. Terapkan kepada murid-murid kita nilai keberanian untuk menentang penderaan, pencabulan, kezaliman dan sebagainya.

Dalam perhimpunan pagi di sekolah, cukup-cukuplah kita meleteri murid-murid dengan cerita yang sama setiap minggu setiap hari. Murid jaga disiplin, murid jangan buang sampah merata-rata, murid jangan berlari-lari, murid jangan ponteng, murid jangan datang lewat, murid buang kerja sekolah, murid jangan buat itu, ,murid jangan buat ini, tanpa kita sedari kita telah mendera murid-murid kita. Mendera murid-murid dengan meleteri????? Bukan tidak boleh berpesan, berleter pada murid tetapi...... sama-samalah kita fikir. (isu perhimpunan pagi akan dilanjutkan kemudian dalam topik khusus).

Berbalik kepada isu penderaan tadi, oleh kerana blog ini khususnya untuk yang berkaitan dengan PPDa, saya memohon kerjasama guru PPDa, gunalah berita semasa di akhbar untuk diulas, dibacakan semula, dalam slot menyampaikan mesej PPDa kepada murid-murid kita.

Sekian... wassalamualaikum....

















Rabu, 24 Februari 2010

Pelaksanaan Ujian Air Kencing Murid-murid Sekolah Menengah

Bermula minggu ini, sekolah-sekolah menengah terpilih akan dikunjungi oleh pegawai AADK Rompin untuk melaksanakan ujian air kencing (UAK), rutin setiap tahun. Bersesuaian dengan keadaan kewangan yang meruncing, hanya beberapa sekolah terpilih sahaja akan dilaksanakan dengan bilangan murid yang berkurangan daripada tahun-tahun lepas. Sekolah-sekolah yang terlibat adalah ................. rahsiaaaa............

PPDa 2010

2010, tahun yang dipenuhi dengan kekangan kewangan. Beberapa program rutin yang biasanya dianjurkan diperingkat daerah, negeri, dan kebangsaan telah ditiadakan disebabkan kekurangan peruntukan kewangan.
Namun begitu, ketiadaan peruntukan diharapkan tidak menjejaskan mesej PPDa disampaikan kepada murid-murid. Beberapa program boleh dilaksanakan tanpa menggunakan kos atau dengan kos yang minima. Program mesej antidadah di perhimpunan pagi perlu dilaksanakan demi kelangsungan untuk menyampaikan maklumat bahaya dadah kepada murid-murid. Kreativiti pihak sekolah terutama Guru PPDa adalah dituntut untuk melaksanakan program jangka pendek dan berterusan dengan kos yang minima atau tanpa kos.
19 Februari setiap tahun telah disiytiharkan sebagai Hari Antidadah Peringkat Kebangsaan. Melalui surat JPNP 19/01/001/Jld.3(82) bertarikh 4 Februari 2010, semua sekolah di negeri Pahang dikehendaki mengadakan PELANCARAN MINGGU ANTIDADAH PERINGKAT SEKOLAH dengan tema 1 MALASYSIA MEMBANTERAS DADAH. Oleh yang demikian diharapkan semua sekolah di daerah Rompin ini dapat melaksanakan Minggu Antidadah ini.