Rabu, 9 Jun 2010

Lebih 72% Penghidap HIV Aids Umat Islam

Lebih 70 peratus daripada 87,710 penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah daripada kalangan umat Islam, kata Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan.

Graduan UiTM Dipenjara.... PERANAN GURU DI SEKOLAH .........


Graduan UiTMN Dipenjara .... PERANAN GURU
Dalam usaha mengekang permasalahan sosial khususnya seks luar nikah.


8 Jun 2010 di dada akhbar arus perdana menyiarkan berita tentang seorang bekas graduan UiTM, yang merupakan seorang wanita dihukum penjara kerana kesalahan membuang mayat bayi yang dilahirkannya di tempat pembuangan sampah.

Kalau kita menyoroti berita berkisahkan pembuangan bayi ini, kalau boleh dibuat kesimpulan ialah penanggungnya, pemikul bebannya adalah wanita. Amat jarang kita baca, pasangan lelaki yang sama-sama memperoleh nikmat itu turut tertangkap dan dihukum. Cuma baru-baru ini di Melaka sepasang remaja lelaki dan perempuan ditangkap kerana menanam mayat bayi mereka yang baru dilahirkan.

PERANAN GURU berkaitan berita seperti tajuk di atas? Kalau dalam Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), salah satu aktiviti paling mudah dilaksanakan ialah menyampaikan mesej PPDa di perhimpunan pagi. Jadi, berita pembuangan bayi ini, ia boleh dijadikan satu isu untuk sentiasa diperingatkan kepada semua pelajar, khususnya kepada pelajar perempuan. Tidak kira di perhimpunan pagi atau pun di dalam kelas dan tidak kira juga sama ada diperingkat menengah mahu pun rendah.

Setiap kali ada berita berkaitan pembuangan bayi, berita itu perlu dibacakan sama ada oleh guru ataupun pelajar. Kupaskan isu itu untuk pengetahuan pelajar kita. Ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran, keinsafan, simpati, empati dalam diri pelajar kita. Kesedaran dan keinsafan terutama untuk pelajar-pelajar dengan harapan mereka berupaya mengelakkan diri daripada melakukan perzinaan.

Manakala simpati dan empati pula bertujuan untuk mereka merasai keazaban seorang bayi yang dilahirkan dan dibuang begitu sahaja. Ada yang mati ketika dilahirkan, ada yang mati kerana dilemaskan, ada yang mati kerana terperosok dalam lubang tandas, ada dicampak keluar dari kereta. Bila pelajar berupaya mereka meletakkan diri mereka sebagai bayi yang dibuang atau dibunuh itu, harapannya adalah agar mereka sedar, insaf bahawa perbuatan itu adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan dan berusaha menjauhinya.

Walaupun berita yang dibacakan itu mungkin telah dibaca oleh pelajar tetapi adalah perlu untuk dibacakan semula kepada mereka (pelajar). Kadangkala mereka membaca hanya sekadar membaca dan tidak berusaha mengambil ikhtibar daripada berita yang dibaca. Kadangkala remaja hanya gemar membelek ruangan hiburan sahaja dan mengabaikan berita-berita semasa lain.

Yang lebih penting ialah bila isu itu dikupas oleh guru, ia mungkin dapat memberi impak yang lebih untuk menimbulkan kesedaran, keinsafan, simpati dan empati seperti yang dinyatakan tadi.

Jumaat, 4 Jun 2010

AKIBAT SYABU..................................



Jadikanlah berita ini sebagai sumber untuk kita menyampaikan mesej PPDa kepada anak-anak dan murid-murid kita...................

Rabu, 2 Jun 2010

CIUMAN MAUT ..........



HARIAN METRO - 2 JUN 2010

Ciuman perokok boleh bunuh kanak-kanak


2010/06/02

MELBOURNE: Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.
Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children''s Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria yang berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium," katanya seperti yang dipetik oleh Australian Associated Press.

Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," kata Prof Booy. - Bernama

Isnin, 24 Mei 2010

Pelbagai bentuk dadah pemusnah......


Saban hari dalam akhbar menceritakan perihal dadah. Makin disekat, makin hebat. Bahkan ubat-ubatan yang selama ini diambil sebagai bahan untuk mencegah penyakit, penahan sakit, bahan penenang, sudah dijadikan bahan untuk penagihan. Dan kesannya jika mengambil secara berlebihan, amat membimbangkan.

Pelbagai jenis dadah yang sentiasa berubah bentuk dan warna. Kadang-kadang dijadikan dalam bentuk seperti gula-gula yang digemari kanak-kanak. Dan sekarang bahan-bahan yang digunakan sebagai ubatan yang sah jika diambil dalam dos yang terkawal dan dengan nasihat doktor, kini ubatan ini dijadikan bahan penagihan. Inilah yang perlu dijelaskan dan diberi penekanan kepada modal-modal insan yang dalam pembikinan. Di sinilah peranan ibu bapa dan guru untuk menerangkan tentang bahayanya ubatan jika disalahguna.

Biarlah anak-anak kita, anak-anak murid kita tahu daripada kita yang ikhlas untuk memberi pengetahuan kepada mereka. Jangan biarkan anak-anak kita, anak-anak murid kita mendapat pengetahuan tentang dadah daripada orang yang hendak menjahanamkan mereka.

Salam PPDa .....

Ahad, 16 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU .......

16 MEI setiap tahun dirai sebagai HARI GURU. Tarikh 16 MEI dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

Guru hari ini jauh berbeza dengan guru yang dahulu (klik ini dan ini). Jauh bezanya. Murid dulu dan murid sekarang (klik ini dan ini), juga jauh beza sikap dan disiplin mereka. Ibubapa dulu dan sekarang juga berbeza.Cabaran persekitaran dahulu juga jauh dengan cabaran persekitaran sekarang.

Walau apa pun, atas dasar namanya guru yang merupakan pendidik (bukan sekadar mengajar) segala cabaran, segala suka, segala duka, perlu dihadapi dengan kesabaran. Untuk renungan semua... kalau sebelum ini kita guru didendangkan sajak GURU OH GURU (nukilan Usman Awang).......

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi


sajak yang memang tetap relevan sepanjang masa untuk kaum guru..., tetapi dalam menghadapi murid-murid masa kini kita mungkin perlu merenungkan nukilan ini juga....

JIKA ANAK…… (baca Jika anak murid)

Jika anak sentiasa dikecam , dia belajar jadi pengacau.
Jika anak sentiasa dimusuhi, dia belajar jadi pendendam.
Jika anak sentiasa diaibkan, dia belajar jadi rendah harga diri.
Jika anak sentiasa diberi peluang , dia belajar jadi yakin diri.
Jika anak sentiasa dihargai , dia belajar jadi orang budiman.
Jika anak sentiasa dilindungi , dia belajar punyai kepercayaan diri.
Jika anak sentiasa didengari, dia belajar jadi empati .
Jika anak sentiasa didampingi dan dimesrai , dia belajar untuk
menjadikan dunia ini tempat yang paling selesa,indah dan
membahagiakan.


Mesej PPDa ....

SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA SAHABAT GURU... TERUTAMA KEPADA GURU SEJATI YANG BERJIWA PENDIDIK....

Rabu, 12 Mei 2010

ISU REMAJA DITEMBAK POLIS.... mesej kepada pelajar@remaja....

Mutakhir ini di dada akhbar antara isu yang utama adalah tindakan pihak polis yang menembak dua remaja, seorang maut manakala seorang lagi cedera parah (sila klik ini dan ini). Jika dilihat daripada sudut emosi, memang berasa sedih di atas nasib yang dialami oleh kedua remaja tersebut, terutama keluarga mereka, terutama kepada keluarga mangsa yang maut akibat ditembak polis. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah perasaan empati kepada keluarga remaja yang maut itu.

Isu ini boleh menjadi satu topik yang menarik untuk dibincangkan oleh guru dan pelajar dalam kelas atau pun boleh dimesejkan kepada semua pelajar kita terutama kepada pelajar sekolah menengah dalam perhimpunan sekolah. Isu begini perlu diberi peluang kepada pelajar kita untuk meluahkan pandangan dan pendapat mereka. Daripada pendapat dan pandangan pelajar itu, kita boleh membuat penilaian dan daripada penilaian, kita (guru)perlu menanamkan mesej tentang perlunya mematuhi undang-undang.

Kalau didalami berkaitan insiden kedua remaja malang ini, pokok pangkalnya adalah bermula dengan pelanggaran undang-undang oleh kedua remaja tersebut. Remaja yang mati ditembak itu memandu tanpa lesen dan dibawah umur. Manakala remaja yang kedua melarikan diri daripada pihak polis. Dan biasanya jika bila nampak polis dan lari maknanya remaja tersebut tentu telah melakukan satu pelanggaran undang-undang menyebabkan dia takut berhadapan dengan polis. Jika kedua-duanya tidak melanggar undang kemungkinan insiden sebegini tidak akan berlaku.

Walau apa pun cara penyampaian mesej berkaitan isu ini kepada pelajar, seharusnya janganlah sampai menimbulkan prasangka negatif pelajar kita kepada pihak polis. Penegasannya adalah undang-undang perlu dipatuhi.

Catatan: Apa yang tertera di sini adalah pandangan peribadi admin blog ini dan tiada kena-mengena dengan jabatan tempat bertugas.