Ahad, 2 Januari 2011

SELAMAT TAHUN BARU, SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH, SELAMAT BERTUGAS ......

2011 dinanti menjelma kini
3 Januari 2011 persekolahan bermula
Selamat bertugas pendidik sejati
Selamat bersekolah murid semua

2011 akan dilalui
Bermacam cabaran bakal menanti
Sekolah Bebas Dadah 2012 setahun lagi
Bersama berusaha untuk mencapai visi

2011 akan kita harungi
Dengan izin Allah mampu kita hadapi
Walau kemelesetan ekonomi menjadi cabaran
Guane-guane pun program PPDa akan tetap kita laksanakan

Terima kasih kepada Pengetua / Guru Besar di atas kerjasama tuan melaksanakan program PPDa sepanjang Tahun 2010. Terima kasih kepada sahabat-sahabat guru PPDa, terima kasih sahabat-sahabat guru yang bekerjasama melaksanakan program PPDa di peringkat sekolah.

Kepada sekolah yang menawarkan diri untuk dinilai dalam Pertandingan Bilik / Sudut PPDa di sekolah, juga diucapkan ribuan terima kasih. Tahun 2011 diharap lebih banyak sekolah berani mencalonkan diri untuk dinilai.

SMK Pontian Jaya dan SK Bukit Ibam wakil daerah Rompin bagi Kategori Sudut PPDa sekolah menengah dan rendah, terima kasih dan tahniah kerana berani menyahut cabaran itu. Walau kejayaan belum menyebelahi kita pada Tahun 2010, diharap 2011 kita mampu berusaha untuk Tahun 2011.

SK Leban Chondong, walaupun belum mampu mengungguli bagi Kategori Bilik Sumber PPDa Peringkat Negeri Pahang Tahun 2010, tetapi sekalung TAHNIAH dan penghargaan di atas kejayaan mendapat tempat KEDUA dalam Pertandingan Bilik Sumber PPDa Peringkat Negeri Pahang Tahun 2010. Insyaallah, seandainya kita berani menawarkan diri Tahun 2011 ini, kejayaan dirasa lebih menghampiri.

Pun begitu, tidak dilupa cabaran daripada sekolah-sekolah lain, terutamanya daripada SK Bandar Tun Razak yang sedang berusaha membikin diri untuk mengungguli kategori bilik sumber PPDa daerah Rompin Tahun 2011 ini. Begitu juga SK Keratong 10 yang turut mempunyai keazaman ke arah pembentukan modal insan cemerlang dengan mewujudkan bilik sumber PPDa.

Semoga dengan keazaman dan kerjasama kita semua, dengan pelaksanaan program PPDa di sekolah akan mampu menjadikan anak murid kita, anak didik kita, anak-anak kita sendiri, sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang daripada sudut jasmani, emosi, rohani dan intelek.









Sabtu, 13 November 2010

Penilaian Bilik Sumber / Sudut / Lorong PPDa 2010

Penilaian Bilik Sumber / Sudut / Lorong PPDa 2010 telah berlangsung pada 9.11.2010. Tiga Sekolah yang terlibat ;

1. SMK Pontian Jaya - Kategori Sudut / Lorong PPDa
2. SK Bukit Ibam - Kategori Sudut / Lorong PPDa
3. SK Leban Chondong - Kategori Bilik Sumber PPDa

Terima kasih kepada sekolah-sekolah yang terlibat. Terima kasih kepada tuan pengetua & guru besar. Terima kasih kepada guru-guru, terutama Guru PPDa. Terima kasih juga kepada pasukan pemantau yang terdiri daripada Che Lah (Ketua Unit PPDa, JPN), En. Wan Azan (Penolong Pengarah Unit PPDa, JPN), En. Jamal (PKD Jerantut) dan En. Husaini (PKD Lipis).

SKLC : Lorong masuk ke Bilik Sumber PPDa


SKLC : Gerbang di depan bilik sumber PPDa


SKLC : Che Lah, Ketua Unit PPDa bersama Guru PPDa Pn. Nor suzini



SKLC : salah satu game di depan bilik PPDa


SKLC : antara bahan dipamerkan ... akibat dadah

Selasa, 12 Oktober 2010

KEMPEN ANTIROKOK

KEMPEN ANTI ROKOK SEKOLAH-SEKOLAH NEGERI PAHANG
SEMPENA PROGRAM SELEPAS UPSR DAN PMR TAHUN 2010

Merujuk surat JPNP 19/01/001/Jld.5(21) bertarikh 20 September 2010, semua sekolah di negeri Pahang ini diarahkan untuk melaksanakan kempen antirokok khusus kepada murid Tahun 6 dan Tingkatan 3.


MACAM MANA NAK LAKSANA???


Program boleh dibuat dengan 2 cara;
  1. Secara menumpang dalam program yang telah sedia dirancang.
  2. Membuat program yang khusus hanya untuk kempen antirokok ini.

BAJET ????


Ada dua cadangan juga iaitu;

  1. Tanpa bajet
  2. Dengan bajet

Kalau jemput orang luar (orang kesihatan ke, siapa-siapa ke...) mungkin kena tanggung kos makan minum aje.


PENGISIAN???
  • Ceramah
  • Pameran
  • Kuiz
  • Melukis poster
  • Beri asas komunikasi, talking point dll pada budak Tahun 6, then suruh mereka sampaikan makluman pada budak pra ke, Tahap Satu ke.
  • Kemahiran ICT : Bina powerpoint, brosur dll yang sesuai.
  • Ranting maklumat
  • Dan lain-lain yang mampu dibuat......
Pengisian ini juga bergantung kepada masa yang dirancang, 1 jam, 2 jam, separuh hari.... seminggu....


PELAPORAN????

Sudah tentulah setiap program kena buat dokumentasi sikit. Formatnya... sudah difaxkan... Buat masa ini, pelaporan itu, email kan ke ; ppda_ppdrompin@yahoo.com



Selasa, 5 Oktober 2010

HARGA ROKOK NAIK... mampukah mengurangkan penagih rokok????

Salam,

Kerajaan telah menaikkan kadar duti eksais sebanyak 3 sen sebatang menjadikan harga sekotak rokok 20 batang naik 63 sen (60 duti eksais dan 3 sen cukai jualan). Dengan kenaikan duti eksais ni memaksa syarikat rokok menaikkan harga rokok di pasaran.

Persoalannya adalah, adakah kenaikan duti rokok sebanyak 3 sen/batang ini mampu memberi kesan untuk mengurangkan penagih rokok? Adakah kenaikan harga ini mampu mengawal penularan gejala dan budaya merokok di kalangan remaja terutama murid sekolah??

Persepsinya adalah kenaikan ini tidak akan menghalang remaja merokok. Ketika ini harga sebatang rokok yang berjenama hebat, yang secara psikologinya dipercayai boleh mengangkat darjat serta meningkatkan daya fikir (kepercayaan ini adalah hanya dalam pemikiran orang yang menagihnya) sahaja) adalah dalam lingkungan 50 sen sebatang. Dengan kenaikan 63 sen sekotak, maka sebatang nilainya 60 sen, 70 sen sebatang. Jadi masih amat mampu dibeli. Itu belum lagi rokok yang darjatnya agak rendah tarafnya (walau dipercayai mampu memberi kesempurnaan, hanya dalam pemikiran penagihnya) yang masih lagi amat mampu dibeli oleh murid sekolah. Lagi pula, rokok seludup tidak dicukai sudah tentu lebih mampu dibeli.

Kenapa cerita jual rokok sebatang-sebatang sedangkan kerajaan telah mengharamkan rokok dijual secara batang. Ini kerana, jualan rokok secara batang masih lagi berleluasa . Kalau tidak pun, budak sekolah ni kalau setakat RM1 seorang kongsi 7..8 orang beli sekotak rokok, tak de halnyer. Biar kelaparan asal berasap.

Kenapa cerita budak sekolah beli rokok?? Bukankah kerajaan tidak membenarkan rokok dijual kepada bawah 18 tahun?? Itu hanya kerajaan yang tidak membenarkan. Peniaga rokok masih membenarkan sebab rokok adalah hanya makruh (walau telah difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada Tahun 1995)... baru makruh... Jika mufti, ustaz,ibu bapa, orang dewasa maupun cikgu menagih rokok, apa lagi orang yang bukan dikalangan mufti, ustaz, ibu bapa, orang dewasa dan cikgu... Sebabnya, golongan yang disebut tadi adalah antara golongan "role model" bagi bebudak sekolah. Jadinya,bak kata pepatah Bagaimana mentor, begitulah protegenya.

Jadi kenaikan harga rokok ni maknanyer..... tidak ada makner apa-apa. Peluasan tempat merokok pun maknanyer, tak ada makna apa-apa. Ada undang-undang larangan merokok pun maknanyer, tak ada makna apa-apa sebab tiada penguatkuasaan yang serius.

Selasa, 20 Julai 2010




Andai mendengar suara kanak-kanak menangis, kerap menangis, menangis dan menjerit meminta tolong,seperti dalam kesakitan, sila selidiki, mungkin kanak-kanak itu sedang didera. Hubungi talian NUR 15999 ... atau laporkan ke balai polis yang berhampiran.

Rabu, 9 Jun 2010

Lebih 72% Penghidap HIV Aids Umat Islam

Lebih 70 peratus daripada 87,710 penghidap HIV/AIDS di negara ini adalah daripada kalangan umat Islam, kata Naib Presiden Majlis AIDS Malaysia, Datuk Zaman Khan.

Graduan UiTM Dipenjara.... PERANAN GURU DI SEKOLAH .........


Graduan UiTMN Dipenjara .... PERANAN GURU
Dalam usaha mengekang permasalahan sosial khususnya seks luar nikah.


8 Jun 2010 di dada akhbar arus perdana menyiarkan berita tentang seorang bekas graduan UiTM, yang merupakan seorang wanita dihukum penjara kerana kesalahan membuang mayat bayi yang dilahirkannya di tempat pembuangan sampah.

Kalau kita menyoroti berita berkisahkan pembuangan bayi ini, kalau boleh dibuat kesimpulan ialah penanggungnya, pemikul bebannya adalah wanita. Amat jarang kita baca, pasangan lelaki yang sama-sama memperoleh nikmat itu turut tertangkap dan dihukum. Cuma baru-baru ini di Melaka sepasang remaja lelaki dan perempuan ditangkap kerana menanam mayat bayi mereka yang baru dilahirkan.

PERANAN GURU berkaitan berita seperti tajuk di atas? Kalau dalam Pendidikan Pencegahan Dadah (PPDa), salah satu aktiviti paling mudah dilaksanakan ialah menyampaikan mesej PPDa di perhimpunan pagi. Jadi, berita pembuangan bayi ini, ia boleh dijadikan satu isu untuk sentiasa diperingatkan kepada semua pelajar, khususnya kepada pelajar perempuan. Tidak kira di perhimpunan pagi atau pun di dalam kelas dan tidak kira juga sama ada diperingkat menengah mahu pun rendah.

Setiap kali ada berita berkaitan pembuangan bayi, berita itu perlu dibacakan sama ada oleh guru ataupun pelajar. Kupaskan isu itu untuk pengetahuan pelajar kita. Ini bertujuan untuk menimbulkan kesedaran, keinsafan, simpati, empati dalam diri pelajar kita. Kesedaran dan keinsafan terutama untuk pelajar-pelajar dengan harapan mereka berupaya mengelakkan diri daripada melakukan perzinaan.

Manakala simpati dan empati pula bertujuan untuk mereka merasai keazaban seorang bayi yang dilahirkan dan dibuang begitu sahaja. Ada yang mati ketika dilahirkan, ada yang mati kerana dilemaskan, ada yang mati kerana terperosok dalam lubang tandas, ada dicampak keluar dari kereta. Bila pelajar berupaya mereka meletakkan diri mereka sebagai bayi yang dibuang atau dibunuh itu, harapannya adalah agar mereka sedar, insaf bahawa perbuatan itu adalah zalim dan tidak berperikemanusiaan dan berusaha menjauhinya.

Walaupun berita yang dibacakan itu mungkin telah dibaca oleh pelajar tetapi adalah perlu untuk dibacakan semula kepada mereka (pelajar). Kadangkala mereka membaca hanya sekadar membaca dan tidak berusaha mengambil ikhtibar daripada berita yang dibaca. Kadangkala remaja hanya gemar membelek ruangan hiburan sahaja dan mengabaikan berita-berita semasa lain.

Yang lebih penting ialah bila isu itu dikupas oleh guru, ia mungkin dapat memberi impak yang lebih untuk menimbulkan kesedaran, keinsafan, simpati dan empati seperti yang dinyatakan tadi.

Jumaat, 4 Jun 2010

AKIBAT SYABU..................................



Jadikanlah berita ini sebagai sumber untuk kita menyampaikan mesej PPDa kepada anak-anak dan murid-murid kita...................

Rabu, 2 Jun 2010

CIUMAN MAUT ..........



HARIAN METRO - 2 JUN 2010

Ciuman perokok boleh bunuh kanak-kanak


2010/06/02

MELBOURNE: Ciuman perokok boleh membawa maut kepada kanak-kanak, kata seorang pakar kesihatan kanak-kanak.
Prof Robert Booy, pengarah penyelidikan di Pusat Imunisasi dan Penyelidikan Kebangsaan di The Children''s Hospital di Sydney, berkata ini kerana perokok berkemungkinan besar membawa sejenis bakteria yang berbahaya pada kerongkong mereka.

"Bakteria yang boleh menyebabkan kematian ini akan dipindahkan kepada kanak-kanak semasa mereka dibelai dan dicium," katanya seperti yang dipetik oleh Australian Associated Press.

Menurut laporan itu, seorang daripada 10 kanak-kanak yang terkena penyakit akibat jangkitan bakteria itu akan meninggal dunia.

"Perokok adalah pembawa kuman seperti meningococcus. Jadi, pelukan dan ciuman pada kanak-kanak, boleh menyebabkan kuman tersebar walaupun seseorang perokok itu merokok di luar rumah," kata Prof Booy. - Bernama

Isnin, 24 Mei 2010

Pelbagai bentuk dadah pemusnah......


Saban hari dalam akhbar menceritakan perihal dadah. Makin disekat, makin hebat. Bahkan ubat-ubatan yang selama ini diambil sebagai bahan untuk mencegah penyakit, penahan sakit, bahan penenang, sudah dijadikan bahan untuk penagihan. Dan kesannya jika mengambil secara berlebihan, amat membimbangkan.

Pelbagai jenis dadah yang sentiasa berubah bentuk dan warna. Kadang-kadang dijadikan dalam bentuk seperti gula-gula yang digemari kanak-kanak. Dan sekarang bahan-bahan yang digunakan sebagai ubatan yang sah jika diambil dalam dos yang terkawal dan dengan nasihat doktor, kini ubatan ini dijadikan bahan penagihan. Inilah yang perlu dijelaskan dan diberi penekanan kepada modal-modal insan yang dalam pembikinan. Di sinilah peranan ibu bapa dan guru untuk menerangkan tentang bahayanya ubatan jika disalahguna.

Biarlah anak-anak kita, anak-anak murid kita tahu daripada kita yang ikhlas untuk memberi pengetahuan kepada mereka. Jangan biarkan anak-anak kita, anak-anak murid kita mendapat pengetahuan tentang dadah daripada orang yang hendak menjahanamkan mereka.

Salam PPDa .....

Ahad, 16 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU .......

16 MEI setiap tahun dirai sebagai HARI GURU. Tarikh 16 MEI dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956 Majlis Undang-undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai Dasar Pelajaran bagi negara kita. Dokumen tersebut yang dikenali sebagai LAPORAN RAZAK (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

Guru hari ini jauh berbeza dengan guru yang dahulu (klik ini dan ini). Jauh bezanya. Murid dulu dan murid sekarang (klik ini dan ini), juga jauh beza sikap dan disiplin mereka. Ibubapa dulu dan sekarang juga berbeza.Cabaran persekitaran dahulu juga jauh dengan cabaran persekitaran sekarang.

Walau apa pun, atas dasar namanya guru yang merupakan pendidik (bukan sekadar mengajar) segala cabaran, segala suka, segala duka, perlu dihadapi dengan kesabaran. Untuk renungan semua... kalau sebelum ini kita guru didendangkan sajak GURU OH GURU (nukilan Usman Awang).......

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi


sajak yang memang tetap relevan sepanjang masa untuk kaum guru..., tetapi dalam menghadapi murid-murid masa kini kita mungkin perlu merenungkan nukilan ini juga....

JIKA ANAK…… (baca Jika anak murid)

Jika anak sentiasa dikecam , dia belajar jadi pengacau.
Jika anak sentiasa dimusuhi, dia belajar jadi pendendam.
Jika anak sentiasa diaibkan, dia belajar jadi rendah harga diri.
Jika anak sentiasa diberi peluang , dia belajar jadi yakin diri.
Jika anak sentiasa dihargai , dia belajar jadi orang budiman.
Jika anak sentiasa dilindungi , dia belajar punyai kepercayaan diri.
Jika anak sentiasa didengari, dia belajar jadi empati .
Jika anak sentiasa didampingi dan dimesrai , dia belajar untuk
menjadikan dunia ini tempat yang paling selesa,indah dan
membahagiakan.


Mesej PPDa ....

SELAMAT HARI GURU KEPADA SEMUA SAHABAT GURU... TERUTAMA KEPADA GURU SEJATI YANG BERJIWA PENDIDIK....

Rabu, 12 Mei 2010

ISU REMAJA DITEMBAK POLIS.... mesej kepada pelajar@remaja....

Mutakhir ini di dada akhbar antara isu yang utama adalah tindakan pihak polis yang menembak dua remaja, seorang maut manakala seorang lagi cedera parah (sila klik ini dan ini). Jika dilihat daripada sudut emosi, memang berasa sedih di atas nasib yang dialami oleh kedua remaja tersebut, terutama keluarga mereka, terutama kepada keluarga mangsa yang maut akibat ditembak polis. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah perasaan empati kepada keluarga remaja yang maut itu.

Isu ini boleh menjadi satu topik yang menarik untuk dibincangkan oleh guru dan pelajar dalam kelas atau pun boleh dimesejkan kepada semua pelajar kita terutama kepada pelajar sekolah menengah dalam perhimpunan sekolah. Isu begini perlu diberi peluang kepada pelajar kita untuk meluahkan pandangan dan pendapat mereka. Daripada pendapat dan pandangan pelajar itu, kita boleh membuat penilaian dan daripada penilaian, kita (guru)perlu menanamkan mesej tentang perlunya mematuhi undang-undang.

Kalau didalami berkaitan insiden kedua remaja malang ini, pokok pangkalnya adalah bermula dengan pelanggaran undang-undang oleh kedua remaja tersebut. Remaja yang mati ditembak itu memandu tanpa lesen dan dibawah umur. Manakala remaja yang kedua melarikan diri daripada pihak polis. Dan biasanya jika bila nampak polis dan lari maknanya remaja tersebut tentu telah melakukan satu pelanggaran undang-undang menyebabkan dia takut berhadapan dengan polis. Jika kedua-duanya tidak melanggar undang kemungkinan insiden sebegini tidak akan berlaku.

Walau apa pun cara penyampaian mesej berkaitan isu ini kepada pelajar, seharusnya janganlah sampai menimbulkan prasangka negatif pelajar kita kepada pihak polis. Penegasannya adalah undang-undang perlu dipatuhi.

Catatan: Apa yang tertera di sini adalah pandangan peribadi admin blog ini dan tiada kena-mengena dengan jabatan tempat bertugas.

Selasa, 20 April 2010

BAHAYA ROKOK ELEKTRONIK........ e-cigarette



PEROKOK yang menggunakan rokok elektronik atau rokok-e kini didapati terdedah kepada bahaya bahan-bahan kimia beracun. Rokok-e yang menawarkan campuran cecair nikotin, perisa dan bahan-bahan kimia lain tanpa asap ini terbukti tidak 100 peratus selamat.

Satu kajian saintifik mendapati rokok-e mengandungi karsinogen dan bahan-bahan kimia bertoksik seperti diethylene glycol.


SEBANYAK 19 variasi rokok elektrolik telah diuji dan didapati tidak selamat.

Syarikat-syarikat Britain yang menjual rokok-rokok ini bagaimanapun mendakwa rokok-rokok standard itu tidak mengandungi sebarang bahan berbahaya dan toksin berkarsinogenik.

Namun, Pentadbiran Perubatan dan Makanan Amerika Syarikat (AS) yang telah menguji 19 variasi rokok elektronik telah mengeluarkan surat amaran tentang tahap keselamatan produk-produk ini.

Meskipun rokok-e diharamkan di sesetengah negara seperti Kanada, ia boleh didapati dengan mudah melalui pelbagai laman web Britain. Malah, sebahagiannya juga mengandungi perisa seperti strawberi dan karamel yang dibimbangi boleh menarik minat pengguna kanak-kanak.

"Kami mengesyorkan sesiapa yang ingin berhenti merokok agar mencuba produk nikotin perubatan lain seperti gula-gula getah atau inhalator yang telah diuji selamat dan berkesan," kata Deborah Arnott, Pengarah Action on Smoking and Health AS. - Independent


Kata PPDa,

Kecerdikan manuasia yang disalahguna mencipta benda-benda yang menjahanamkan. Bukan budak-budak saja.... orang dewasa, orang tua, yang tak cerdik, yang lambat cerdik, yang cerdik pandai pun tewas dek godaan benda yang telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan (1995).

Rokok pun dah dielektronikkan..... yang dah tua tak pa la sbb kira ada la sikit cerdik boleh hindari gejala dadah disbbkan rokok ni. Tapi hak yang bebudak, anak-anak.... adakah mereka cukup cerdik untuk hadapi tokan-tokan, pusher-pusher, yang mempunyai pelbagai helah untuk meramaikan pelanggan mereka? Tolong selamatkan anak-anak kita.....

Jumaat, 16 April 2010

LAGI DERA HINGGA MATI ... Bhg 2



Berikutan kematian adik Lee swee Hui, tiada apa yang dapat diceritakan lagi. Yang pergi (mati) akan tetap pergi. Kita yang masih hidup inilah perlu mengambil ikhtibar. Sebagai ahli masyarakat kena lebih peka dengan persekitaran. Jika ada yang mencurigakan, laporkan kepada pihak berkuasa. Sudah masanya, dalam sesetangah perkara, dalam sesetengah kecurigaan, istilah tidak mahu jaga tepi kain orang perlu diketepikan.

Kesinambungan penderaan hingga mati adik Syafiah Humairah (3 tahun), adik K Haresvarren (18 bulan) dan adik Lee Swee Hui ini, PERSAMAANNYA IALAH SUSPEK TELAH DISAHKAN POSITIF DALAM PENYALAHGUNAAN DADAH DAN ARAK. Ternyata, DADAH dan ARAK antara sebab menyebabkan manusia hilang kewarasannya.

KEPADA SAHABAT GURU PPDa yang membaca artikel ini, marilah kita bersama kuatkan tekad untuk menyampaikan mesej bahaya dadah dan arak kepada pembentukan masyarakat madani.

Sekian.....

Khamis, 15 April 2010

LAGI DERA HINGGA MATI



Akhbar Harian Metro 15 April 2010 menyiarkan berita seorang kanak-kanak berbangsa Cina mati didera. Anak yang begitu comel, yang tidak berdosa sekali lagi menjadi mangsa kerakusan manusia yang bergelar ibu dan bapa. Tidak kiralah ibu bapa kandung, ibu bapa tiri, ibu bapa angkat, hakikatnya bila bergelar ibu bapa kandung, tiri, angkat adalah bertanggungjawab menjaga anak tanpa mengira anak kandung, tiri mahu pun angkat.

Terkilan juga apabila mendengar kenyataan jirannya yang mendengar suara kanak-kanak menangis saban malam dengan suara tangisan seolah-olah sedang kesakitan, seolah-olah sedang dipukul, tetapi tiada usaha menyelidiki apa yang berlaku.

Tetapi tidak boleh menyalahkan jiran tersebut kerana bukan budaya rakyat Malaysia mengambil tahu apa yang berlaku pada orang sebelah rumah.(???????) Kenal jiran sebelah tetapi tidak boleh ambil tahu apa yang dibuat oleh jiran, takut dikata menjaga tepi kain orang.

Tidak seperti di luar negara, kalau jiran membuat bising, terdengar bunyi bising di rumah sebelah, terus menelefon pihak berkuasa. Bunyi binatang peliharaan yang buat bising pun boleh dilaporkan ke pihak berkuasa. Di sini perkara sebegini jarang berlaku. Mungkin untuk menjaga hati jiran, menjaga keharmonian kejiranan maka bunyi bising atau apa-apa yang tidak selesa didengar atau dilihat, tidak diambil tindakan sewajarnya.

Sewajarnya, sikap tidak menghiraukan ini (dalam sesetengah perkara) perlu diubah. Mengambil contoh berita kematian adik Lee Swee Hui ini, masyarakat perlu berubah. Jika mendengar mahupun melihat sesuatu yang mencurigakan, walaupun mungkin maklumat tidak sahih tetapi merasakan sesuatu yang tidak selok sedang berlaku, rasanya tidak salah untuk melaporkan ke pihak berkuasa. Dan pihak berkuasa pula jangan mengambil sikap tidak endah dengan laporan yang seolah-olah seperti 'khabar angin' ini.

Jika sipengadu menampilkan dirinya dengan jelas, pihak berkuasa perlu mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap laporan itu. Identiti pengadu perlu dirahsiakan. Jika hasil siasatan tidak menepati seperti yang dilaporkan, pihak berkuasa pula janganlah terlalu cepat membuat kesimpulan menuduh sipengadu tadi membuat laporan palsu atau cuba menganiayai jiran.

Akhirnya, jika semua pihak prihatin, Insyaallah boleh membantu mengurangkan penderitaan mangsa dera ini.

Selasa, 13 April 2010

MESEJ PPDa .................



Isu memperdayakan warga Malaysia untuk menyeludup dadah bukan perkara yang baru. Dua tiga tahun kebelakangan ini isu ini selalu dipaparkan di dada akhbar.

Isu ini perlu diambil cakna oleh guru-guru khususnya guru PPDa. Beri peringatan demi peringatan kepada para pelajar supaya mereka tidak terperangkap dengan pujukan-pujukan oleh orang yang tidak dikenali mahu pun yang dikenali yang menawarkan pakej-pakej istimewa seperti melancong percuma dan sebagainya. Dengan peringatan demi peringatan, Insyaallah semoga anak-anak kita sentiasa beringat dan waspada perangkap dadah.

Isnin, 5 April 2010

PELAJAR ANTARA PASARAN SINDIKET DADAH



Apa yang dipaparkan menerusi berita di atas menunjukkan bahawa pengedar dadah tidak memilih mangsanya. Suatu ketika dahulu pernah diceritakan di mana seseorang pelajar diberi rokok yang bercampur bahan larangan sehingga ketagih. Oleh kerana pelajar yang telah ketagih ini tidak mempunyai wang untuk membeli rokok sedap itu, maka dia diminta mencari pelanggan baru jika inginkan rokok sedap itu secara percuma.
Oleh itu, kepada guru PPDa yang membaca artikel ini, tolonglah peringatkan pelajar-pelajar kita akan taktik pengedar dadah ini.

Khamis, 1 April 2010

ROKOK ADA SEL DARAH BABI.................

Sesuatu yang amat mengejutkan. Adakah anda merasa was-was, jika was-was, wajib anda berhenti merokok... kalau anda yakin bahawa rokok yang anda hisap itu bersih sebersih-bersihnyer.... lu pikir la sendri...............

Rokok jenama apa yang ada sel darah babi? dunhill? benson? marlboro? camel? Texas 5? salem? tidak....hish... tak hisap rokok buatan barat, nama barat... hanya hisap SAAT, SEMPURNA.... adakah rokok bernama seperti melayu bebas dari sel darah babi.... fikir-fikirkan lah.

1MALAYSIA BEBAS ROKOK, KELUARGA DIDAHULUKAN, ANAK-ANAK DIUTAMAKAN
1KELUARGA BEBAS ASAP ROKOK, ANAK-ANAK DIDAHULUKAN, ISTERI DIUTAMAKAN






Selasa, 30 Mac 2010

ADA NILAI DALAM BERITA INI 3


22 MURID JAHAT.... salah satu tajuk berita dalam Harian Metro (HM) 30 Mac 2010. Ini adalah satu isu yang boleh dikatakan sudah terhantuk baru terngadah. Maknanya lebih kurang dah terkena baru beringat. Dalam isu 22 MURID JAHAT ini boleh dikatakan bila dah menerima kesan melakukan kesalahan disiplin baru mengaku salah, mengaku tak sempurna, tidak patut pengetua buat macam itu dan macam-macam lagi.

Jika dilihat daripada satu sudut, memang tidak wajar diletak ulasan yang negatif dalam sijil berhenti sekolah (SBS) murid. Hatta murid yang dibuang sekolah pun selalunya diberi sijil berhenti dengan ulasan yang positif daripada segi disiplin (sebab tak pernah dengar rungutan sebelum ini). Malah murid yang mengugut guru, mencalarkan kereta guru, yang memukul guru pun rasanya diberi ulasan disiplin yang positif pada SBS. Dan pengetua yang berani memberi ulasan negatif dalam SBS ini sudah pasti mempunyai alasan serta dokumentasi yang kukuh untuk dia mempertahankan keputusannya itu.

Sebagai ibubapa/penjaga sudah tentu berasa terkejut, sedih, marah,.... kalau ikut rasa hati... parah pengetua yang begitu... Saya pun mungkin akan berasa begitu jika anak saya yang diberi ulasan kelakuan yang negatif dalam SBS. Mohon dijauhkan.

Tapi kalau dilihat dari satu sudut lagi, ada kewajaran pengetua bertindak begitu. Jika berdasarkan fakta dan mempunyai dokumentasi, bukti yang kukuh. Walau pun kadar kesalahan disiplin murid sekolah di negara ini adalah kecil klik, tetapi ketegasan adalah penting untuk mempastikan masalah disiplin di sekolah dapat dikekang. Mungkin peratusannya kecil jika dikira murid sekolah di seluruh malaysia, tetapi mungkin ia isu besar di sesebuah sekolah.

Oleh yang demikian, satu tindakan kontroversi oleh pengetua (seperti tajuk berita di atas) mungkin boleh menjadi contoh kepada murid-murid lain. Menjadi contoh kepada ibubapa/penjaga supaya jangan ambil ringan isu disiplin anak di sekolah. Tidak kira anak kita menjadi hero sekolah dalam bidang sukan dll, tapi kalau disiplin tidak dikawal, mereka tidak akan ke mana-mana.

Apa yang berlaku sekarang ialah, murid yang dikenakan tindakan disiplin oleh pihak sekolah diberi peluang berulang kali untuk memperbaiki tahap disiplin mereka. Murid yang dibuang sekolah, diberi peluang merayu dan bersekolah kembali. Malah mereka boleh bersekolah semula di sekolah yang membuang mereka. Walau pun ini untuk kebaikan murid itu sendiri tetapi ia memberi gambaran yang negatif kepada murid-murid lain.

"Tengok, si A yang kena buang sekolah boleh sekolah semula kat sini." Ini bermakna, bermasalah disiplin yang kronik pun boleh bersekolah semula di sekolah yang membuang mereka. Maknanya lagi, kalau kita buat salah tak apa, kena buang sekolah tak apa, kurang ajar dengan guru, bergaduh dengan kawan, tak apa, kita boleh sekolah semula. Cikgu tak boleh buat apa-apa. Jangan masuk kes polis, ADDK, JKM sudahla. Dalam SBS pun ditulis kelakuan/sahsiah dapat akhlak terpuji, A+++ dsb. Apatah lagi kalau murid buat salah, ibubapa/penjaga mempertahankan anak-anak mereka. Lagi lah naik tocang murid-murid sekarang.

Gambarannya lagi, kita nak bantu seorang murid yang nakal, tidak berdisiplin, kelakuan tidak senonoh ini tetapi kita lupa dia memberi contoh kepada satu sekolah bahawa,... tak apa buat salah, kita tetap boleh sekolah... memberi contoh yang negatif.

Mungkin sudah tiba masanya pihak yang berkenaan, yang ada kuasa, untuk memikirkan supaya murid (sekolah menengah) yang bermasalah dan sudah diberi peluang bersekolah semula tetapi masih mendatang masalah kepada pihak sekolah supaya ada altenatif baru dibuat untuk mereka. Murid bermasalah biasanya tidak berminat bersekolah. Kalau masalah disiplinnya keterlaluan, apa salahnya mereka yang telah dibuang sekolah diwajibkan masuk institusi tertentu mengikuti latihan kemahiran dsb. Golongan murid beginilah yang amat perlu diPLKNkan. Mungkin peperiksaan awam boleh secara persendirian.

Mungkin boleh difikirkan murid bermasalah ini diPLKNkan dalam masa hari persekolahan. Sebulan, dua bulan, tiga bulan. Mereka duduk di sekolah pun bukan minat nak belajar. Antara jadual di PLKN... diajar juga subjek di sekolah di samping sillibus PLKN yang sedia ada. Mungkin selepas diPLKNkan itu boleh mengubah mereka ke arah yang lebih positif.

Berbalik kepada isu 22 BUDAK JAHAT di HM, mungkin perkara itu boleh dibincangkan lagi antara PIBG dan pihak sekolah. Tetapi kepada ibubapa/penjaga, memberi kerjasama yang baik kepada pihak sekolah, mungkin perkara ini dapat di atasi. Biasanya di pihak sekolah, seburuk mana pun perangai murid-muridnya, jika ibubapa murid tersebut memberi kerjasama, tidak terlalu membela anak (kecuali terbukti pihak sekolah salah), perkara begini mungkin tidak berlaku. Pihak sekolah pula dalam mengambil tindakan hendaklah memperhalusi, dokumentasi lengkap agar tindakan tidak boleh dipertikaikan.

TAPI APA YANG NYATA ADALAH BERITA INI PERLU DIAMBIL PENGAJARAN OLEH IBUBAPA/PENJAGA DAN PIHAK SEKOLAH. SEKIAN....

Nota: Apa yang ditulis adalah pandangan peribadi semata-mata dan tiada kena mengena dengan jabatan tempat bertugas.






























ADA NILAI DALAM BERITA INI 2 (sambungan semalam...)


Banyak sungguh kes dadah
Banyak lagi kalau bab dedah mendedah
Aduan ibubapa/penjaga jangan pandang mudah
Nanti sekolah...guru...guru besar/pengetua...PPD...JPN... KPM... mendapat padah